LONDON, 2 MAC – Polis Britain berkata mereka menemui mayat anak damit berusia dua bulan di hutan kelmarin selepas pegawai menahan ibu anak itu dan teman lelakinya, yang hilang selepas kanak-kanak itu dilahirkan pada awal Januari.
Constance Marten, 35, dan teman lelakinya Mark Gordon, 48, seorang pesalah seks telah merentasi England selama berminggu-minggu untuk mengelak pihak berkuasa, kata polis.
Penyiasat mengesyaki pasangan itu menggunakan sejumlah besar wang tunai untuk hidup tanpa dikesan, mengembara ke seluruh negara dengan teksi, menutup muka mereka apabila berhampiran kamera litar tertutup dan kerap bergerak, selalunya ketika malam.
Mereka ditahan pada Isnin di Brighton, selatan England, selepas satu petunjuk diberikan oleh orang awam tetapi, anak damit itu tiada bersama mereka.
Bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian anak damit itu, kata Basford. Marten dan Gordon kekal dalam tahanan selepas polis memohon lanjutan 36 jam tempoh tahanan mereka.
Berpuluh-puluh pegawai polis, dibantu dengan helikopter dan dron, mencari kanak-kanak itu di kawasan hutan dan kawasan lapang berhampiran tempat Marten dan Gordon ditahan. Mereka juga menggesa penduduk tempatan melihat ke dalam rumah luar dan bangsal mereka. – AP
