Mayat budak hilang ketika mandi sungai ditemui

KANOWIT, SARAWAK, 26 APRIL – Mayat seorang kanak-kanak lelaki, yang hilang semasa mandi sungai bersama datuk dan neneknya di Sungai Ngemah, Nanga Jagau dekat sini Selasa lepas, ditemukan terapung di tebing sungai kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, mayat Nekson Dana Raimond, tujuh tahun, ditemui di kawasan Nanga Benuk oleh penduduk kampung yang melalui sungai berkenaan pukul 8.45 pagi.

Berikutan maklumat itu, pihak bomba bersama penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian untuk mengambil mayat itu dan membawanya ke rumah panjang untuk tujuan pengecaman oleh keluarga mangsa.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan awal mangsa dipercayai lemas apabila tiada kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa dan menolak kemungkinan serangan buaya dan selesai pengecaman, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama