Mayat ketua pengganas dipindah dari hutan

PALU, INDONESIA, 19 SEPT – Mayat seorang militan Indonesia paling dikehendaki yang dikaitkan dengan kumpulan IS dan seorang pengikutnya, yang terbunuh di dalam hutan semasa kejadian tembak-menembak dengan pihak keselamatan, dipindahkan awal pagi tadi ke hospital polis bagi siasatan lanjut, menurut kenyataan polis.

Pihak tentera sebelum ini berkata militan yang terbunuh lewat kelmarin adalah Ali Kalora, pemimpin rangkaian Mujahideen Timur Indonesia yang mendakwa membunuh beberapa orang anggota polis dan minoriti Kristian, serta seorang pengganas, Jaka Ramadan, yang dikenali sebagai Ikrima. Kedua-dua mereka ditembak oleh pasukan gabungan tentera dan polis di pergunungan daerah Parigi Moutong, wilayah tengah Sulawesi. Sempadannya di daerah Poso, dianggap sebagai sarang pengganas di wilayah tersebut.

Beberapa gambar yang diperoleh oleh The Associated Press daripada pihak berkuasa menunjukkan senapang M16 dan beg galas terletak berhampiran mayat. Ketua polis Sulawesi Tengah, Rudy Sufahriadi memberitahu semasa sidang media hari ini bahawa pihak keselamatan turut merampas dua butir bom dari beg galas, yang juga mengandungi makanan dan alat untuk berkhemah. – AP