Mayat lelaki reput

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu – Kampung Selayun digemparkan dengan penemuan mayat lelaki yang sudah reput oleh penduduk setempat yang terhidu bau busuk di kawasan jalan berhampiran sebuah simpang di Kampung Selayun.

Polis Sengkurong mengesahkan menerima laporan sekitar pukul 9 malam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Peng Eng Lee pada persidangan media.

Beliau menambah kata setiba di tempat kejadian, polis menemui mayat lelaki terbaring di dalam semak dengan keadaan sebahagian badannya hangus terbakar, reput dan berbau busuk.

Memandangkan keadaan mayat sudah reput, katanya polis sukar mengenal pasti identitinya. Pemeriksaan awal oleh pakar patologi mendapati mangsa sudah mati sekitar tiga atau empat hari lalu dan unit siasatan khas, Jabatan Siasatan Jenayah masih menjalankan siasatan berhubung penemuan itu.

Beliau percaya mangsa dibakar tetapi belum dapat mengesahkan sama ada mangsa dibunuh atau bagaimana kejadian berlaku.

Ketika penemuan, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri atau barang kemas kepunyaan mangsa dan polis sudah membuat kepungan di keliling kawasan itu, ujarnya.

Sehubungan kejadian itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai saudara mara atau sahabat handai yang hilang atau keluar rumah dan sehingga kini belum pulang supaya melaporkan ke balai polis berdekatan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.