Mayat lelaki tanpa tangan ditemui terapung di sungai

LAHAD DATU, 10 JUN – Mayat lelaki tanpa kedua-dua tangan dipercayai dibaham buaya ditemui terapung di kawasan sungai Ladang Tabin Hap Seng, Jalan Temenggung di sini tengah hari tadi.

Mayat ditemui pada 12:25 tengah hari itu dipercayai Rudy Gessa, 44, warga Indonesia yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar memancing di sungai tersebut pada 4 petang semalam.

Pegawai Bomba Kanan, Abu Bakar Taraji ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata mayat berkenaan ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa memancing.

“Mayat itu ditemui tanpa tangan serta kaki kiri iaitu dari paras betis ke bawah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada jam 8 pagi tadi, Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu menerima panggilan kecemasan berhubung insiden lelaki hilang dan tiga anggota serta seorang pegawai dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat.

Operasi itu yang turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia dan Rela, ditamatkan pada pukul 1 tengah hari. – Bernama