Mayat mangsa bot karam di sungai Krian ditemukan

KABONG, 8 Mei – Mangsa tragedi bot karam di muara Sungai Krian Sabtu lepas, ditemukan lemas pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Kho Boo Jang berkata, mayat mangsa, Abang Madehan Abang Awi, 43, dijumpai terapung kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian pada 8.34 pagi oleh penduduk kampung yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak hari pertama kejadian.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan bot telah digerakkan ke lokasi penemuan tersebut.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti dan seterusnya diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian tengahari Sabtu lalu, sebuah bot dinaiki mangsa bersama 10 penduduk kampung yang membawa 200 kotak air minuman yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) karam dipukul ombak besar. Bagaimanapun, katanya, 10 penumpang lain berjaya menyelamatkan diri. Semasa kejadian, bot berkenaan sedang dalam perjalanan dari pekan Kabong ke Kampung Paloh, yang putus bekalan air bersih akibat kemarau. – Bernama