Mayat pendatang Vietnam tiba di Hanoi

HANOI, 27 NOV – Kumpulan pertama mayat pendatang Vietnam yang maut dalam trak sejuk beku di Britain bulan lalu selamat tiba di Vietnam awal pagi tadi, kata sumber lapangan terbang.

Kesemua 16 mayat itu tiba dengan penerbangan komersial Vietnam Airlines dari London ke Hanoi, dan disambut oleh ambulans serta pegawai keselamatan.

“Pesawat membawa 16 mayat itu selamat mendarat dan kami sedang menunggu untuk menyerahkan ia kepada pihak berkuasa tempatan,” kata satu sumber yang enggan dikenali.

Satu surat rasmi yang dilihat wakil agensi kemudiannya mengesahkan ketibaan 16 mayat itu hari ini, sebelum dibawa pulang ke tiga wilayah berbeza di bahagian tengah Vietnam.

Baki 23 mayat lagi dijangka tiba dalam tempoh beberapa hari, walaupun tarikh sebenar masih belum dapat dipastikan.

Gambar daripada Agensi Berita Vietnam yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan anggota keselamatan Lapangan Terbang Noi Bai ketika mengangkat keranda mayat ke dalam sebuah kenderaan di Hanoi. – AFP

Semua keluarga mangsa menanti dengan penuh debar kepulangan ahli keluarga mereka dan ramai yang terpaksa membuat pinjaman dalam jumlah besar daripada kerajaan bagi menampung kos membawa pulang mayat itu.

Kesemua mayat terbabit dijangka diserahkan kepada ahli keluarga lewat hari ini di tiga wilayah tengah iaitu Nghe An, Ha Tinh dan Quang Binh, bagi membolehkan keluarga masing-masing mengadakan upacara pengebumian.

Kesemua 31 mayat lelaki dan lapan wanita itu ditemui dalam sebuah lori sejuk beku di kawasan perindustrian di Essex, timur London pada 23 Oktober.

Polis pada mulanya mengenal pasti kesemua mangsa sebagai pendatang dari China namun beberapa keluarga dari Vietnam kemudian tampil dan membuat pengesahan.

United Kingdom adalah destinasi pilihan utama untuk pendatang tanpa izin dari Vietnam. – AFP