TAIPEI, 3 OKT – Penyelamat Taiwan hari ini menemui mayat terakhir insiden jambatan runtuh dua hari lalu yang menimpa bot nelayan di bawahnya.
Sejumlah enam kru nelayan dari Indonesia dan Filipina terbunuh dalam insiden itu, yang turut menyebabkan 12 yang lain cedera, menurut Agensi Bomba Kebangsaan.
Mayat terakhir, kru Filipina ditemui sekitar tengah hari, menamatkan pencarian tanpa henti sejak jambatan terbabit runtuh Selasa lalu, kata agensi.
Pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap punca jambatan terbabit runtuh dan keluarga mangsa yang maut akan menerima pampasan Tw$5 juta.
Rakaman dramatik CCTV menunjukkan rentetan jambatan melengkung sepanjang 140 meter itu runtuh awal pagi Selasa di Nanfangao, di pantai timur Taiwan.
Dalam video itu, kabel menegak di tengah-tengah lengkungan keluli jambatan tiba-tiba patah. Jambatan terbabit kemudian runtuh ke dalam air menimpa tiga bot nelayan dan pada masa sama sebuah lori tangki minyak yang berada di atasnya terjunam ke dalam air dan terbakar.
Taiwan telah dibadai taufan pada malam Isnin menyebabkan hujan lebat turun dan angin kencang melanda bahagian pantai timur tetapi ketika jambatan itu runtuh, cuaca dalam keadaan baik.
Mercu tanda tempatan itu siap pada 1998 dan merangkumi pelabuhan kecil nelayan.
Taiwan mempunyai industri perikanan yang besar dengan sebahagian besar pekerjanya adalah migran berpendapatan rendah dari Filipina, Indonesia dan Vietnam. – AFP


































