Mayat tragedi lombong arang batu ditemui selepas 11 tahun

WELLINGTON, 17 NOV – Selepas 11 tahun tragedi lombong arang batu yang mengorbankan 29 nyawa, pasukan penyiasat hari ini menemui dua mayat, namun menyatakan pihaknya tidak mungkin melancarkan lagi operasi pencarian.

Tragedi di lombong Pike River pada 2010 itu adalah kemalangan industri paling buruk di New Zealand yang mengejutkan negara itu dengan pelbagai percubaan pencarian dilakukan dan mendorong siasatan atas dakwaan jenayah.

Nahas itu dipercayai disebabkan letupan yang dicetuskan oleh penghasilan gas metana mudah terbakar.

Hanya dua daripada 31 pekerja lombong syif petang itu berjaya keluar menyelamatkan diri.

Runtuhan terowong menamatkan usaha untuk menjejaki mayat atau mendapatkan lebih banyak bukti mengenai bencana itu.

Dengan menggerudi lombong itu, pakar kini berupaya merakamkan lebih banyak gambar hingga ke bahagian paling jauh lombong terbabit.

Polis berkata, mereka melihat mayat manusia dan mungkin juga mangsa ketiga.

“Pada ketika ini, kami tidak dapat mengenal pasti mayat dan akan bekerjasama dengan pakar forensik.

“Berdasarkan siasatan, kami percaya terdapat enam hingga lapan lelaki bekerja di lokasi mayat itu ditemui,” kata Detektif Superintenden Peter Read sambil memaklumkan berikutan lokasi itu, polis tidak dapat membawa keluar mayat itu. – AFP

Gambar fail bertarikh 30 November 2010 menunjukkan api dari syaf ventilasi lombong arang Pike River dekat Greymouth di New Zealand. – AFP