Mayat wanita disumbat dalam kotak

JOHOR BAHRU, 11 JUN – Seorang wanita ditemukan mati semalam, dipercayai dibunuh kekasihnya dengan mayatnya dibuang di dalam kotak dan ditinggalkan di tepi jalan di Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Setia Indah, di sini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata mayat wanita berumur 33 tahun yang sudah berbau busuk itu ditemukan kira-kira 6:30 petang semalam sekali gus merungkai kes ‘Orang Hilang’ yang dilaporkan pada Jumaat lepas.

“Pasukan Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan dua lelaki berumur 30an bagi membantu siasatan berkaitan kes Orang Hilang iaitu seorang wanita berumur 33 tahun yang

dilapor keluar rumah di Taman Sri Putri, Skudai, pada 28 Mei lepas dan gagal dihubungi oleh pihak keluarganya mulai 29 Mei.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua tangkapan itu mendedahkan penglibatan mereka di dalam pembunuhan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki terbabit merupakan kekasih wanita tersebut dan dia membawa polis ke lokasi mayat wanita itu dibuang.

Beliau berkata lelaki itu turut mendedahkan dia berkenalan dengan wanita tersebut sejak lapan tahun lepas dan wanita itu dipercayai dipukul di sebuah premis perniagaan di perumahan sama, dengan tangan serta paip getah sehingga menyebabkannya rebah ketika mahu ke bilik air untuk mandi. – Bernama