KUALA LUMPUR, 28 Mei – Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak 9.9 peratus kepada RM1.87 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2018 berbanding RM1.75 bilion pada tempoh sama tahun lepas.
Perolehan bagi tempoh tersebut turut meningkat kepada RM11.52 bilion berbanding RM11.28 bilion pada tahun lepas, kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi operasi di Malaysia, Maybank mencatat peningkatan kukuh 6.7 peratus bagi tahun ke tahun dalam pinjaman untuk suku pertama manakala operasi di Singapura dan Indonesia turut bertambah iaitu masing-masing 5.5 peratus dan 2.9 peratus.
Di peringkat kumpulan, aspek pinjaman itu berkembang 1.5 peratus bagi tahun ke tahun.
Sementara itu, deposit kasar meningkat 11.5 peratus dalam operasi kumpulan itu di Malaysia dan diikuti Singapura dan Indonesia yang masing-masing menokok 3.6 peratus dan 2.6 peratus. Deposit bagi peringkat kumpulan turut bertambah 4.7 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM532.1 bilion.
“Nisbah deposit kos rendah (akaun semasa, akaun simpanan) kepada jumlah deposit adalah kekal sihat pada 35.3 peratus manakala nisbah pinjaman kepada deposit berada dalam kedudukan selesa iaitu 92.5 peratus berbanding 95.7 peratus pada setahun sebelum ini,” katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata bagi kemajuan masa depan, Maybank menyasarkan untuk melonjakkan lagi momentum pertumbuhan dan keuntungannya.
Pada masa sama, ia juga akan memastikan bahawa kumpulan itu dapat mengekalkan kadar kecairan dan kedudukan modal yang kukuh bagi menampan ancaman risiko akibat perubahan persekitaran operasi.
“Pada masa sama, kita akan terus menguruskan kos, kualiti aset serta penetapan harga secara wajar serta memacu agenda digital untuk mewujudkan nilai daripada perkembangan teknologi di pasaran hari ini,” katanya. – Bernama