Maysak ragut 1 jiwa, bergerak ke China

BUSAN, KOREA SELATAN, 3 SEPT – Taufan kuat membadai kedua-dua Korea hari ini, meragut satu jiwa di Selatan dan membanjiri jalanan di seluruh pelabuhan di Utara ketika ia bergerak ke semenanjung.

Taufan Maysak dinamakan sempena bahasa Kemboja bagi sejenis pokok – telah membuat pendaratan di Busan di pantai selatan, membawa angin kencang dengan kelajuan 140kmsj, menumbangkan lampu trafik dan pokok serta membanjiri jalan.

Seorang wanita terkorban selepas angin kencang membadai tingkap apartmennya di bandar itu, sementara lebih 2,200 orang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara manakala sekitar 120,000 rumah putus bekalan elektrik di seluruh bahagian selatan semenanjung dan Pulau Jeju.

Taufan yang turut memusnahkan arca dinosaur di sebuah taman di Ulsan telah bergerak ke arah utara, melintasi Laut Jepun dikenali sebagai Laut Timur di Korea, sebelum membuat pendaratan kedua sekitar 0200 GMT di Kimchaek di Korea Utara.

Bencana alam sering memberi impak lebih besar di Korea Utara disebabkan infrastrukturnya yang usang dan negara itu mudah terdedah kepada banjir disebabkan pembasmian hutan di sekitar gunung dan bukit.

Orang ramai melihat tiang elektrik yang tumbang akibat Taufan Maysak di bandar pelabuhan Ulsan pada 3 September. – AFP

Taufan membawa turunan hujan lebat di seluruh Utara, dengan jumlah hujan dalam masa 15 jam sehingga pukul 0300 GMT hari ini telah mencecah 385 milimeter di bandar pelabuhan Wonsan di pantai timur.

Media kerajaan Pyongyang telah meningkatkan kewaspadaan dengan membuat siaran langsung mengenai situasi tersebut, dengan salah satu rakaman menunjukkan seorang wartawan berdiri di jalan yang ditenggelami air di bandar pelabuhan.

Namun pihak berkuasa membatalkan amaran taufan selepas ribut semakin berkurangan dan bergerak ke China.

Sementara itu menuju agensi berita Xinhua, China hari ini telah mengeluarkan amaran tahap biru susulan taufan Maysak, dijangka membawa angin kencang dan hujan ribut di timur dan utara China.

Pada lapan pagi, taufan kesembilan tahun ini berada sekitar 280 kilometer (km) di Changbai, di selatan wilayah Jilin timur laut China, kata Pusat Meteorologi Nasional (NMC) dalam satu kenyataan.

Taufan yang mulai lemah bertukar menjadi ribut tropika dengan kelajuan angin maksimum 30 meter sesaat, menurut NMC.

NMC meramalkan Maysak akan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan sekitar 60kmsj dan menjadi lemah secara beransur-ansur.

Bermula petang ini hingga Jumaat petang, angin kencang dijangka melanda bahagian Laut Kuning, Laut Bohai dan sebahagian Liaoning, Jilin, Heilongjiang dan Inner Mongolia. – AFP/Bernama