Mayweather dakwa ditipu, batal pertarungan

LOS ANGELES, 8 Nov – Bintang tinju, Floyd Mayweather membatalkan satu pertarungan dengan petinju dari Jepun, mendakwa dia telah ditipu dalam mempersetujui pertarungan itu.

Melalui satu kenyataan panjang di media sosial, Mayweather berkata dia telah ‘dibutakan’ oleh para penganjur pertarungan menentang Tenshin Nasukawa itu, dijadualkan pada Tahun Baharu di Saitama.

“Saya mahu ia didengar dengan jelas bahawa saya, Floyd Mayweather, tidak pernah mempersetujui bagi pertarungan rasmi dengan Tenshin Nasukawa,” tulisnya melalui Instagram.

Petinju berusia 41 tahun itu berkata dia membuat perjalanan ke Jepun minggu lepas bagi membincangkan pertarungan persendirian menentang Nasukawa bagi ‘sekumpulan kecil penonton kaya dengan yuran yang sangat mahal’.

“Pertarungan ini diatur sebagai ‘Pertarungan Istimewa’ semata-mata untuk hiburan tanpa tujuan untuk dijadikan pertarungan rasmi atau disiarkan ke seluruh dunia,” jelas Mayweather.

“Ini seharusnya dihentikan serta-merta,” tambah Mayweather.

“Saya mahu meminta maaf kepada peminat-peminat saya atas maklumat yang salah ketika pengumuman awal disampaikan.

“Saya memberikan jaminan bahawa saya sendiri tertipu sepenuhnya dengan perancangan yang dibuat tanpa persetujuan saya.” – AFP