KUALA LUMPUR, 26 APRIL – Sebut sahaja sukan tinju, nama bekas petinju profesional, Floyd Mayweather Jr pastinya meniti di bibir pencinta sukan itu.
Mana tidaknya, May-weather adalah petinju terhebat sepanjang zaman dengan rekod sempurna 50 perlawanan berturut-turut tanpa tewas sebelum mengumumkan persaraannya pada 2017.
Maka, tidak hairanlah figura dari Amerika Syarikat itu menjadi ikutan petinju-petinju dari luar termasuklah atlet muda Malaysia, Muhd Abdul Qaiyum Ariffin.
Muhd Abdul Qaiyum mengakui sering merujuk video Mayweather sebagai panduan baginya untuk cuba membuat kejutan pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan hadapan.
“Mayweather adalah idola saya dalam sukan tinju. Beliau mempunyai cara tersendiri dalam aspek tumbukan, serangan serta mengelak.
“Walaupun Sukan SEA mahupun Sukan Olimpik di bawah kategori amatur dan Mayweather pula beraksi di peringkat profesional, namun kemahiran dimilikinya boleh diguna pakai dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Walaupun belum pernah beraksi di pentas Sukan SEA, petinju berusia 20 tahun itu dilihat bersemangat tinggi dan berazam untuk cuba merangkul emas dalam kategori 52 kilogram (kg) di Hanoi. – Bernama