Mazlan ungguli Liga Petanque

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Awang Mazlan bin Haji Yahya tampil juara keseluruhan bagi Liga Petanque Brunei Darussalam 2016 apabila berjaya mengumpul 85 mata di dalam perlawanan yang bermula sejak Julai 2016 yang lalu.

Sementara itu, di tempat kedua dimenangi oleh Awang Wirna bin Haji Mohd Yassin yang berjaya mengumpul 78 mata, diikuti Awang Masli bin Haji Mohd Said di tempat ketiga dengan mengumpul sebanyak 66 mata.

Hadir menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas ialah Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Awang Abdul Ghani bin Dato Paduka Haji Mohd Ali.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang Kategori Shooting yang turut dimenangi oleh Awang Mazlan, diikuti oleh Awang Wirna ditempat kedua dan Awang Azmi Eddy bin Mohd Harris di tempat ketiga.

Haji Mohd Saffin menyampaikan hadiah kepada juara liga, Awang Mazlan.
Haji Mohd Saffin menyampaikan hadiah kepada juara liga, Awang Mazlan.
Sesi bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa tertinggi persekutuan dan pemenang bagi musim 2016 kali ini. – Gambar Muiz Matdani
Sesi bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa tertinggi persekutuan dan pemenang bagi musim 2016 kali ini. – Gambar Muiz Matdani

Penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh Haji Mohd Saffin bin Yandol sebelum acara diteruskan dengan sesi bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa tertinggi persekutuan dan pemenang bagi musim 2016 kali ini.

Awang Mazlan ketika ditemu bual media selepas perlawanan menegaskan bahawa terdapat begitu banyak saingan dan tentangan hebat daripada pesaingnya iaitu Awang Wirna di sepanjang kejohanan itu diadakan.

“Pada saya, beliau banyak memberikan tekanan kepada permainan, namun setelah bermain bersamanya (Awang Wirna) saya menggunakan kelemahan yang ada padanya sebagai kelebihan dan pada saya strategi inilah yang membolehkan saya mempunyai kelebihan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Awang Wirna bukanlah seorang pemain yang mudah ditewaskan, namun beliau menyatakan rasa bersyukur kerana kemenangan berpihak kepada dirinya dan berhasrat untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi pencapaian di masa akan datang.