Mbappe diketepikan selama tiga minggu

PARIS, 28 JULAI – Kylian Mbappe akan diketepikan selama tiga minggu selepas mengalami kecederaan di pergelangan kakinya semasa perlawanan final Piala Perancis, dan kemungkinan akan terlepas perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara antara Saint-Germain (PSG) menentang Atalanta pada 12 Ogos ini.

Penyerang Perancis itu cedera pada separuh masa pertama ketika PSG menang 1-0 pada perlawanan Jumaat lalu menentang Saint-Etienne setelah diterjah oleh kapten mereka, Loic Perrin yang menyebabkan kad merah dilayangkan.

Pakar perubatan PSG mengatakan hasil ujian awal pergelangan kaki kanan Mbappe kelmarin adalah kerana terseliuh dan juga mengalami kerosakan ligamen.

Kelab menunjukkan jangka masa yang diharapkan beliau untuk kembali cergas adalah sekitar tiga minggu, yang bermaksud dia akan terlepas perlawanan final Piala Liga Perancis pada Jumaat ini menentang Lyon.

Hasil daripada diagnosis itu juga menimbulkan keraguan besar untuk PSG memulakan semula kempen Liga Juara-Juara mereka, walaupun pemain berusia 21 tahun itu mungkin kembali pulih pada perlawanan separuh akhir sekiranya pasukan Tuchel itu berjaya mara ke peringkat seterusnya.

Pertandingan utama bola sepak kelab Eropah akan dimainkan semula dalam kejohanan peringkat kalah mati yang unik di Lisbon kerana kesukaran yang disebabkan oleh wabak COVID-19.

Pertemuan antara PSG dan Atalanta akan menjadi perlawanan suku akhir pertama kejohanan itu bagi lapan pasukan akhir di Stadium da Luz, dengan separuh akhir dijadualkan semula pada 18 hingga 19 Ogos dan final yang akan diadakan pada 23 Ogos. – AFP

Gambar fail pada 24 Julai menunjukkan reaksi Mbappe semasa perlawanan akhir Piala Perancis antara PSG dan Saint-Etienne, di The Stade de France, Saint- Denis, Paris. Mbappe akan diketepikan selama tiga minggu selepas mengalami kecederaan. – AFP