Mbappe kekal di PSG

PARIS, 22 JULAI – Kylian Mbappe mengatakan kelmarin bahawa dia akan tetap bersama juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) musim depan walau apa pun yang berlaku, meskipun terdapat spekulasi mengenai masa depannya.

“Saya di sini. Saya menjadi sebahagian daripada projek untuk tahun keempat bersama PSG,” kata Mbappe, 21, kepada BeIn Sport semasa kemenangan 4-0 PSG ke atas Celtic dalam perlawanan persahabatan di Parc des Princes.

“Ulang tahun ke-50 kelab itu penting di mata kelab, penyokong, semua orang, jadi saya akan berada di sini walau apa pun yang berlaku.”

“Saya akan cuba dan membawa kembali trofi bersama pasukan dan memberikan yang terbaik untuk diri sendiri,” tambah Mbappe, yang tiba di PSG dari Monaco pada tahun 2017 dalam perjanjian perpindahannya bernilai 180 juta euro (AS$208 juta).

Real Madrid selalu dikaitkan dengan perpindahan Mbappe, tetapi presiden kelab Florentino Perez mengatakan minggu lalu juara Sepanyol itu tidak akan membuat penandatanganan besar musim panas ini.

Mbappe membuka jaringan untuk PSG semasa menentang juara Scotland pada minit pertama melalui hantaran Neymar.

Bintang Brazil, Neymar menambah jaringan pada minit ke-25 sebagai persediaan untuk PSG menjelang final Piala Perancis menentang Saint-Etienne pada Jumaat ini. – AFP

Aksi penyerang PSG, Kylian Mbappe ketika mengawal bola semasa perlawanan persahabatan antara PSG dan Glasgow Celtic FC di Stadium Parc des Princes, Paris semalam. – AFP