Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Mbappe kini kapten baharu Perancis

    PERANCIS, 21 MAC – Kylian Mbappe menggantikan Hugo Lloris sebagai kapten Perancis selepas penjaga gol itu mengumumkan untuk bersara, menurut sumber yang rapat dengan pasukan memberitahu AFP, kelmarin.

    Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, 24, menerima peranan tersebut selepas perbincangan dengan jurulatih Didier Deschamps awal hari itu.

    Perlawanan pertamanya sebagai kapten ialah pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Belanda di Stade de France, perlawanan pertama untuk Les Bleus sejak final Piala Dunia di Doha, 18 Disember lalu.

    Penjaga gol Tottenham, Lloris, 36, menamatkan karier antarabangsanya selepas pasukan Lionel Messi Argentina menewaskan Perancis dalam penentuan sepakan penalti dalam perlawanan mendebarkan yang berkesudahan 3-3 selepas masa tambahan.

    Lloris dilantik menjadi kapten selama lebih sedekad.

    Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dinamakan sebagai naib kapten susulan keputusan pertahanan Manchester United, Raphael Varane yang turut mengumumkan persaraannya selepas kekalahan kepada Argentina pada Disember.

    Mbappe, yang menjaringkan hatrik dalam kekalahan final Piala Dunia, sering dikaitkan dengan peranan kapten sejak beberapa minggu kebelakangan.

    Dia membantu Les Bleus menjulang Piala Dunia sebagai pemain remaja pada 2018 dan membuktikan dirinya sebagai penyerang terkemuka di pentas global.

    Bekas pemain Monaco kelahiran Paris itu merupakan naib kapten di PSG di belakang pertahanan Brazil Marquinhos dan mengetuai pasukan itu semasa ketiadaan pemain pertahanan itu semasa kekalahan kepada Rennes Ahad lalu.

    Mbappe menjaringkan 19 gol dalam 24 perlawanan Ligue 1 musim ini dan menyumbang tujuh gol dalam kempen PSG ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, di mana mereka disingkirkan oleh Bayern Munich. – AFP

    Reaksi Kylian Mbappe selepas dia menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al-Janoub di Al-Wakrah, selatan Doha, 22 November 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...