CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES, Perancis, 4 Okt – Kylian Mbappe pemain yang amat bagus dan mampu mengikuti jejak Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dengan memenangi Ballon d’Or, kata rakan senegaranya di Perancis, Blaise Matuidi.
Mbappe dan Matuidi tidak pernah menjadi rakan sepasukan di peringkat kelab selepas pemain muda itu menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dari Monaco pada Ogos, manakala Matuidi meninggalkan kelab itu untuk menyertai Juventus.
Hanya memperoleh peluang melihat sendiri prestasi Mbappe dengan lebih dekat ketika latihan skuad kebangsaan di Clairefontaine menjelang dua aksi final kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria dan Belarus, Matuidi jelas kagum dengan prestasi pemain itu.
“Harap dia akan meneruskannya dan kami bertuah untuk memperoleh pemain sepertinya dalam pasukan kami dan kami perlu memanfaatkannya,” kata Matuidi.
“Dia (Mbappe) adalah seseorang yang mampu membuatkan kamu menang dengan kebijaksanaannya. Dia masih merendah diri dan itu menjadikannya hebat sekali pun dengan bakat yang dimilikinya.

“Dia sentiasa bekerja keras, melakukan lebih lagi. Dia sudah pasti akan mempunyai masa depan yang amat, amat cerah. Saya percaya dia di kalangan mereka yang satu hari nanti memenangi Ballon d’Or.”
Matuidi, 30 dan beraksi sebanyak 58 bersama skuad kebangsaan berkata dia tidak pernah bertemu bakat seperti dimiliki Mbappe selama bergelar pemain profesional.
“Untuk bercakap jujur, tidak. Dia usia seperti itu, apa yang dilakukannya agak mengagumkan,” kata Matuidi lagi.
Sebelum ini, jurulatih Perancis Didier Deschamps bersemangat dengan kepelbagaian corak serangan yang dipamer pemain remaja, Kylian Mbappe dalam usaha Les Bleus mengesahkan kelayakan Piala Dunia hujung minggu ini.
Skuad kendalian Deschamps akan berdepan Bulgaria dan Belarus dalam dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia, dan enam mata penuh akan mengesahkan tiket Perancis ke Russia 2018.
Kepantasan Mbappe sering digunakan sebagai penyerang tengah atau posisi sama dengan bekas bintang Perancis Thierry Henry di sebelah kiri serangan tiga serangkai.
Tetapi Deschamps percaya dia turut boleh beraksi dengan baik di sebelah kanan, posisi baharu bersama Paris Saint-Germain musim ini.
“Dia beraksi dengan baik bersama Paris. Dia bermain banyak perlawanan dan sudah mengesahkan apa yang dilakukan ketika di Monaco (musim lalu) dan kini semakin meningkat,” kata Deschamps.
“Dia lebih kerap di sebelah kanan ketika di Paris, biarpun kelihatan lebih bebas. Dia seorang penyerang, dia boleh bermain dengan baik di tengah dan di kiri.
“Agak meragukan sama ada dia boleh beraksi baik di sebelah kanan kerana kami tidak pernah melihat dia bermain di situ dan (kini) kami menyedari yang dia boleh beraksi dengan baik di bahagian itu juga.”
Perancis memiliki kelebihan satu mata ke atas Sweden dalam Kumpulan A tetapi Belanda dan Bulgaria masih mampu layak secara automatik atau perlawanan play-off yang ditawarkan untuk tempat kedua.
Perancis akan bertandang ke Bulgaria Sabtu ini sebelum menerima kunjungan Belarus, tiga hari kemudian.
Sebarang kesilapan pada perlawanan itu akan menyebabkan Perancis kehilangan kedudukan teratas, dengan Sweden yang dijangka mampu menewaskan Luxembourg pada Sabtu.
“Ini adalah minggu penentuan kerana ia adalah dua perlawanan kelayakan kumpulan terakhir,” kata Deschamps. – AFP