PARIS, 4 OKT – Kylian Mbappe hari ini mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada bulan Julai tahun depan.
“Saya mengatakan pada akhir bulan Julai saya mahu pergi,” kata Mbappe dalam temu bual dengan radio RMC.
“Kedudukan saya sudah jelas. Saya melahirkan keinginan mahu pergi dan saya sudah memberitahu pihak pengurusan PSG sejak awal.”
Pemenang Piala Dunia Perancis itu tidak melanjutkan kontraknya di PSG, menimbulkan spekulasi dia akan berpindah ke Real Madrid pada akhir musim.
Syarikat gergasi Sepanyol itu menawarkan AS$209 juta untuk Mbappe pada bulan Ogos lalu tetapi PSG, yang baharu saja menandatangani Lionel Messi dari Barcelona, menolak tawaran tersebut.
Pada masa itu, pengarah sukan PSG, Leonardo mengatakan Mbappe dapat pergi atau tetap dengan syarat mereka. Mbappe mengatakan dia akhirnya memberitahu PSG “jika awda tidak mahu saya pergi, saya akan kekal.”
“Orang mengatakan bahawa saya telah menolak enam atau tujuh tawaran untuk melanjutkan kontrak dan saya tidak pernah bercakap dengan Leonardo, yang sama sekali tidak benar,” tambahnya.
Mbappe, menyertai PSG dari Monaco dengan perjanjian bernilai total 180 juta euro pada tahun 2017, mengatakan dia telah menawarkan diri untuk meninggalkan kelab pada bulan Julai untuk membolehkan PSG mencari ‘pengganti yang berkualiti’.
“Saya mahu semua orang berada dalam situasi menang-menang,” katanya. – AFP