Mbappe selamatkan maruah Perancis

SOLNA, SWEDEN, 6 SEPT – Kylian Mbappe menyempurnakan satu-satunya percubaan tepat Perancis untuk kemenangan 1-0 juara dunia itu ke atas Sweden dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA.

Mbappe melepasi dua pertahanan, menanti penjaga gol Robin Olsen terjatuh dan kemudian melambung bola masuk ke dalam gawang dari sudut sukar untuk gol tunggal perlawanan pembukaan Kumpulan 3 Liga A.

“Ia perlawanan bersungguh-sungguh, bukan perlawanan yang hebat. Perlawanan permulaan yang bagus, memandangkan tahap kecergasan,” kata pengendali Perancis Didier Deschamps.
Mbappe sendiri mengakui bahawa faktor kecergasan harus diambil kira selepas ia terjejas akibat penularan COVID-19.

“Kami semua tidak berada pada tahap kecergasan yang sama,” kata Mbappe menerangkan mengenai kekurangan dalam perlawanan itu.

“Ia merupakan satu perlawanan yang sangat rumit, tetapi kami telah berjaya mengatasinya dan ia bukan sesuatu yang mudah,” tambahnya.

“Ia jelas saya sangat dekat untuk melakukan jaringan, saya suka aksi tersebut.”

Antoine Griezmann mempunyai peluang untuk menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti selepas Anthony Martial dijatuhkan, tetapi sepakan penyerang Barcelona itu tersasar.

Perancis akan berdepan Croatia di Stade de France pada Selasa, manakala Sweden pula akan bertemu dengan juara bertahan Portugal di Solna. – AFP

Aksi Mbappe ketika menjaringkan gol pembukaan semasa perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Sweden di Friends Arena, Solna. – AFP