PARIS, 28 DIS – Penyerang Perancis, Kylian Mbappe percaya menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun berbanding empat tahun akan membuatkan kejohanan itu kurang menarik.
Nama pemain berusia 23 tahun dari Paris Saint-Germain itu melonjak naik semasa Perancis menjuarai Piala Dunia 2018, meledak empat gol di Rusia, menurutnya sesuatu yang istimewa disebabkan jarang dianjurkan.
“Ia adalah luar biasa. Ia adalah kejohanan yang awda mungkin beraksi sekali dalam seumur hidup,” Mbappe berkata semasa acara anugerah di Dubai.
Mbappe berkata ia sangat penting untuk tidak membuatkan pemain merasa kepenatan, dan mengekalkan keindahan kejohanan adalah motif utamanya.
“Ia sangat istimewa kerana dianjurkan setiap empat tahun dan jika awda bermain setiap dua tahun ia seolah terasa seperti pengalaman seharian,” katanya.
FIFA mendakwa menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun akan memberikan kelebihan dari segi kewangan kepada ahli persekutuan.
Namun Mbappe berkata ia bukanlah tujuannya.
“Jika awda mahu memberikan sokongan kepada sesuatu yang istimewa, awda mesti menunggunya,” katanya.
Hanya lapan buah negara pernah menjuarai Piala Dunia kategori lelaki sejak kali pertama diadakan pada 1930, dan tiada negara yang pernah memenanginya selain dari negara Eropah atau Amerika Selatan.- AFP
