MBB derma barangan asasi

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Dalam berganding bahu membantu masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Majlis Belia Brunei (MBB) menerusi projek kutipan derma orang ramai telah menyerahkan sumbangan barangan asasi berupa 215 guni beras kepada Kempen Sumbangan Pandu Lalu yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.

Hadir untuk mewakili penyerahan sumbangan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku presiden MBB kepada Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan berkenaan ialah Ketua Unit Sumbangan Pandu Lalu Sukarelawan Belia, Pengiran Mohammad Al Nizar bin Pengiran Azahari.

Sejak bermula pada 9 September lalu, Kempen Sumbangan Pandu Lalu yang merupakan inisiatif Sukarelawan Belia Brunei dan disokong oleh KKBS telah menerima maklum balas yang sangat baik daripada masyarakat prihatin di negara ini di mana pelbagai agensi kerajaan, swasta dan persendirian terus tampil ke hadapan untuk memberikan sumbangan.

Objektif utama kempen adalah untuk menyediakan platform khusus bagi mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai yang berniat membantu masyarakat yang memerlukan ketika penularan wabak COVID-19 di negara ini khususnya barangan keperluan asasi melalui kaedah pandu lalu di mana orang ramai boleh meletakkan sumbangan di atas meja yang disediakan.

Kempen beroperasi setiap hari dengan Isnin hingga Khamis dan Sabtu dibuka dari pukul 8:30 pagi hingga 2 petang, manakala itu, pada Jumaat dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung pada 2 hingga 3 petang dan Ahad dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menyerahkan sumbangan barangan asasi kepada Dr Siti Norkhalbi semasa kempen sumbangan pandu lalu yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.