MBB serah sumbangan Yasin, pelitup dan pelindung muka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Sumbangan terus dihulurkan sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada petugas-petugas barisan hadapan dalam usaha menangani gelombang kedua penularan wabak COVID-19.

Kelmarin, sebanyak 100 naskhah buku Yasin, 100 helai pelitup muka kain dan 50 keping pelindung muka telah diserahkan oleh Majlis Belia Brunei (MBB) kepada COVID-19 Holding Area, Belait (CHABEL6).

Sumbangan telah disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku yang dipertua MBB kepada RBN Site Commander CHABEL6, Komander Pengiran Mohd Faren bin Pengiran Mohd Noor dan Naib Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.

Sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan derma daripada orang ramai melalui MBB dan Projek #INFAQ1.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menyerahkan sumbangan kepada Komander Pengiran Mohd Faren. – Gambar serahan Majlis Belia Brunei