PHNOM PENH, 9 DIS – Komuniti perniagaan Malaysia di rantau ini telah bersama-sama melancarkan Dewan Perniagaan Malaysia ASEAN (MBCs ASEAN) untuk meneroka pasaran Asia Tenggara yang kaya dengan sumber dan didorong oleh 670 juta pengguna.
Diterajui oleh Dewan Perniagaan Malaysia Kemboja (MBCC), badan pusat yang baru dilancarkan itu terdiri daripada Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Ia diumumkan pada Sidang Kemuncak Dewan Perniagaan Malaysia ASEAN bertemakan 2024 Review & 2025 Outlook di Phnom Penh minggu lepas.
Cawangan ASEAN itu bertujuan memudahkan perniagaan Malaysia menjalankan perniagaan dan perdagangan rentas sempadan dalam blok perdagangan 10 anggota yang dinamik, yang sedang muncul sebagai kuasa besar perdagangan dan pelaburan dunia.
Presiden MBCC, Tan Khee Meng berkata kerjasama serantau itu akan membuka peluang perdagangan yang lebih luas dalam kalangan anggota ASEAN.
“Penubuhan MBCs ASEAN bukan sekadar perubahan nama tetapi satu transformasi bukti kekuatan kerjasama kami.
“Bersama-sama, kita membina jambatan perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya, memperkukuh imej Malaysia serta memupuk kemakmuran serantau,” kata Tan.
Penubuhan MBCs di ASEAN berlaku pada masa yang penting ketika kerajaan Kemboja, Laos dan Vietnam menggalakkan pelabur asing untuk meneroka peluang ekonomi.
Perancang ekonomi di rantau itu memerlukan modal untuk menyokong ekonomi domestik mereka untuk mewujudkan peluang pekerjaan, memperluas sektor pembuatan, beralih ke tenaga hijau, membangunkan sektor pertanian dan meningkatkan infrastruktur untuk menangani isu perubahan iklim. – Bernama