Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Bersempena hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, McDonald’s Brunei telah mengadakan kempen kebersihan di Masjid Kampung Sungai Hancing.
Sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada 24 orang, termasuk kru dan kakitangan McDonald’s telah ikut serta dalam kempen tersebut.
Kempen kebersihan itu juga diadakan bertepatan dengan Bulan Komuniti McDonald’s, yang memberikan penekanan kepada komitmen mereka untuk memupuk masyarakat.
Sementara itu, Pengurus Besar Restoran McDonald’s Sungai Tilong, Pengiran Mohd Khairun Najmi bin Pengiran Othman berkata, “Hubungan komuniti merupakan fokus impak utama untuk McDonald’s Brunei, dan kami percaya bahawa kami boleh mencipta lebih banyak impak kepada komuniti yang kami berkhidmat dengan mengambil langkah aktif dan menyelaraskan usaha kami dalam bidang ini.”
Anggota kru dari McDonald’s Brunei dengan penuh semangat menyertai kempen tersebut. Mohammad ‘Izzat Majdi, seorang penolong pengurus, berkata kempen itu benar-benar memberikan kepuasan kepada dirinya kerana dapat bersatu sebagai komuniti untuk membuat perubahan.
Imam Masjid Kampung Sungai Hancing, Awang Syu’aib bin Haji Abdullah juga menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada pihak McDonald’s Brunei kerana sudi berkunjung ke masjid tersebut bagi aktiviti membersihkan kawasan luar dan dalam masjid bersempena dengan kedatangan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan pahala yang berlipat ganda, rezeki yang luas serta dalam rahmat pemeliharaan dan perlindungan-Nya jua.