McDonald’s Brunei tetapkan SOP pembukaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Bagi menyambut kembali para pelanggannya semasa Fasa Peralihan yang akan bermula 19 November ini, rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s Brunei mengambil langkah meningkatkan tahap keselamatan, kebersihan makanan dan premisnya.

Ketua Operasi McDonald’s Brunei, Awang Sahrizam bin Haji Samat (gambar) menjelaskan, langkah yang diambil ketika negara berdepan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 bertujuan memastikan kesihatan pelanggan dan kakitangan dijaga dan terhindar daripada sebarang wabak.

Sebelum ini, ujar beliau, McDonald’s beroperasi dengan tempahan dari luar restoran, sambutannya daripada pelanggan amat menggalakkan.

Untuk Fasa Peralihan ini nanti, McDonald’s Brunei akan membukakan pintunya untuk pelanggan dengan kapasiti yang telah ditetapkan iaitu 50 peratus daripada had kapasiti restoran.

Pelanggan yang dibenarkan masuk ke premis nanti adalah pelanggan yang sudah menerima vaksinasi penuh, mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan menunjukkan kad pengenalan pintar mereka.

McDonald’s mempunyai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri, yang disediakan untuk memastikan persekitaran selamat di dalam restoran bagi pelanggan dan kakitangannya.

Garis panduan berkenaan, jelas beliau, akan diguna pakai selaras dengan garis panduan terkini Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan.

Menyentuh mengenai dengan SOP, beliau berkata, sepertimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, penjarakan sosial akan diamalkan dalam dan luar restoran. Papan-papan tanda dan stiker peringatan juga akan disediakan di premis.

Mengenai kakitangan, kesemuanya akan mengikuti arahan Kementerian Kesihatan di mana hanya kakitangan yang telah melengkapkan vaksinasi dibenarkan untuk bertugas dan mereka juga akan diarahkan untuk membuat saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) setiap dua minggu sekali bagi memastikan mereka dalam keadaan sihat dan selamat untuk semua.

Mengenai sistem pengudaraan restoran, beliau menjelaskan, mereka mempunyai sistem putar balik pengudaraan yang baik dan selamat untuk semua yang berada di dalam restoran.

Bagi penghantar makanan, mereka diwajibkan mengutamakan langkah berjaga-jaga dengan sentiasa mengamalkan langkah keselamatan yang telah ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kebersihan yang lebih teratur dan terjaga.

Ditanya mengenai langkah-langkah SOP lain seperti selepas habis waktu operasi, Ketua Pemasaran McDonald’s Brunei, Dayang Noor Hafilah binti Haji Mohd Salleh berkata, setiap kali selepas habis waktu beroperasi, setiap restoran menetapkan seorang pengurus memastikan kebersihan premis secara terperinci termasuklah kawasan dapur, laluan pandu lalu, kawasan makan dan stor dan mengarahkan kru mereka untuk terus balik ke rumah masing-masing.

McDonald’s berharap para pelanggan akan dapat memahami peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan bekerjasama semasa fasa itu nanti, dan menjaga kesalamatan bersama.

Dalam pada itu, McDonald’s menawarkan promosi 11.11 iaitu pakej value meal bagi Fish Nugget, Fillet O Fish, Fish and Fries dan untuk tambahan Fish Bites.

Manakala itu, setiap pembelian pada jumlah minimum pelanggan akan mendapat beg kitar semula dan payung McDonald’s secara percuma.

Sempena menyambut kembali pelanggan pada 19 November ini, McDonald’s juga memperkenalkan wajah baharu dengan rekaan restoran terkini yang direka oleh Lim Extreme 2.0 Design yang juga sama seperti di Singapura dan Malaysia. Restoran direka lebih canggih dan besar, ada bilik parti, tempat permainan kanak-kanak, tempat duduk yang mencukupi dan kios elektronik yang membolehkan pelanggan membuat tempahan, suasananya pula lebih selesa.