McDonald’s gantung operasi di Singapura

SINGAPURA, 19 APRIL – Restoran makanan segera McDonald’s berkata ia akan menggantung semua operasi di Singapura selama dua minggu bermula hari ini selepas tujuh pekerjanya diuji positif dijangkiti koronavirus.

McDonald’s berkata dalam Facebook ia memutuskan untuk mematuhi nasihat kementerian kesihatan untuk menutup operasinya sehingga 4 Mei apabila perintah berkurung separa di Singapura berakhir sebagai sebahagian langkah pencegahan dalam usaha membendung wabak COVID-19. Ia berkata ia akan meneruskan membayar gaji kepada 10,000 pekerja yang bekerja di lebih 125 restoran di seluruh negara ketika tempoh tersebut.

Rantaian makanan segera itu, yang memberikan khidmat kepada enam juta pelanggan setiap bulan, tidak memberikan butiran lanjut. Tujuh daripada pekerjanya yang bekerja di beberapa restoran telah didiagnosis dijangkiti virus tersebut sejak seminggu lalu. – AP