McDonald’s wujud 20,000 kerja di UK, Ireland

LONDON, 21 JUN – Syarikat makanan segera Amerika Syarikat (AS), McDonald’s telah mengumumkan rancangan untuk mewujudkan 20,000 pekerjaan di Britain dan Ireland untuk memenuhi jangkaan ledakan dalam permintaan selepas pandemik.

McDonald’s berkata dalam kenyataan yang disiarkan kelmarin yang ia akan membuka 50 restoran dalam tempoh 12 bulan ketika sekatan COVID-19 dilonggarkan.

Kumpulan AS itu pada masa ini menggaji lebih 130,000 orang di 1,400 buah restoran di Britain dan Ireland.

“Ia amat fantastik dapat menawarkan tambahan 20,000 orang, satu peluang untuk bekerja dengan kami,” kata Paul Pomroy, ketua eksekutif McDonald’s United Kingdom dan Ireland.

“Tiada keraguan lagi yang pandemik memberi kesan besar ke atas peluang pekerjaan orang ramai dan mengancam masa depan perniagaan di merata tempat di negara itu.”

Bagaimanapun kelmarin, Pomroy juga menekankan yang McDonald’s juga berdepan kesukaran merekrut, sejajar dengan peluasan sektor.

Semakin sukar untuk merekrut kakitangan, katanya kepada akhbar Sunday Telegraph.

Badan perdagangan UKHospitality telah memberi amaran mengenai ‘krisis kakitangan’ yang disebabkan oleh impak peraturan perjalanan pandemik dan imigresen selepas Brexit.

Industri hospitaliti Britain berdepan kemerosotan kiri-kira 188,000 kakitangan, menurut penganalisis baru-baru ini dari pertubuhan perdagangan. – AFP