McIlroy bakal sertai tiga kejohanan

MIAMI, 15 MEI – Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy menyokong pelan keselamatan dan kesihatan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) yang bakal kembali bulan depan dan dia berhasrat menyertai kesemua tiga kejohanan pada Jun.

McIlroy yang menjuarai empat gelaran termasuk kejohanan Tour and Players bersetuju dengan garis panduan dikeluarkan PGA semalam termasuk ujian koronavirus dan beraksi tanpa penonton.

“Saya percaya Jelajah PGA mempunyai polisi sangat ketat dan jika mereka melaksanakannya, saya pasti lebih selesa ke lapangan dan beraksi dengan tenang,” kata McIlroy.

Pemain berusia 31 tahun dari Ireland Utara itu bercadang melakukan pukulan tee apabila saingan PGA kembali bersambung pada 11 Jun di Colonial pada kejohanan Charles Schwab Challenge di Fort Worth, Texas.

McIlroy turut berhasrat menyertai dua lagi kejohanan PGA selepas itu, Heritage di South Carolina pada 18 hingga 21 Jun dan Travelers Championship bermula 25 hingga 28 Jun di TPC River Highlands dekat Hartford, Connecticut – kesemuanya tanpa penonton.

“Kami perlu mematuhi semua garis panduan bagi membolehkan jelajah diadakan semula. Jika mereka berjaya melaksanakannya, saya tak nampak mengapa kejohanan tidak dapat dimulakan pada 11 Jun.

“Jika kami berjaya, saya sedia ke Fort Worth.”

Pemain dikehendaki menjalani saringan kesihatan sebelum datang ke lapangan dan sekali lagi apabila tiba selain perlu diambil suhu badan setiap hari. Pemakaian penutup muka dan hidung serta penjarakan sosial turut diwajibkan. – AFP

Gambar fail menunjukkan reaksi Mcllroy ketika meraikan kemenangannya dalam satu perlawanan di Louisville, Kentucky. McIlroy bakal kembali bulan depan dan berhasrat menyertai kesemua tiga kejohanan pada Jun. – AFP