McIlroy dahului saingan

MIAMI, 5 MAC – Juara empat kali kejuaraan utama, Rory McIlroy melakukan lima birdie berturut-turut untuk mencapai aksi terbaik tahun ini sekali gus berkongsi kedudukan pendahuluan di Kejohanan Jemputan Arnold Palmer PGA Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 31 tahun dari Ireland Utara itu melakar enam di bawah par 66 di Bay Hill, Orlando untuk berkongsi kedudukan teratas dengan wakil Kanada, Corey Conners dan satu pukulan mengatasi penyandang juara Terbuka AS, Bryson DeChambeau.

McIlroy, yang berharap dapat melengkapkan kejuaraan utama bulan depan menjelang kejohanan Masters, memulakan saingan di sembilan lubang terakhir dengan bergelut untuk melakukan hayunan menghasilkan birdie.

“Ia sangat baik. Mengumpul 66 pukulan adalah permulaan baik untuk menghadapi hari pertama kejohanan. Saya juga melakukan pukulan dengan baik.

“Saya melihat banyak petanda positif di luar sana, di mana ia membuatkan anda bermotivasi tinggi,” katanya.

Conner juga bermula dari sembilan lubang terakhir, dengan membenam empat birdie dan satu eagle pada tujuh lubang pertama namun menutup saingan satu bogey pada lubang kesembilan.

“Banyak perkara saya lakukan hari ini. Ia adalah permulaan yang baik. Saya bersedia untuk ke pusingan seterusnya dan rasa permainan saya sangat bagus,” kata Conner.

“Saya mula merasakan nama saya kembali bersinar. Saya berdepan kesukaran jika saya bermain terlalu banyak, memberi tekanan mental dan fizikal. Kini saya berusaha untuk memanfaatkan waktu rehat,” tambahnya. – AFP

Aksi McIlroy ketika melakukan pukulan pada pusingan pertama perlawanan kejohanan jemputan di Orlando, kelmarin. – AFP