McIlroy harap Piala Ryder ditunda 2021

LONDON, 26 MEI – Rory McIlroy (gambar bawah) percaya Piala Ryder akan ditunda ke 2021 di bawah tekanan daripada pemain yang tidak ingin kehilangan suasana unik acara yang diadakan di sebalik pintu tertutup.

Pandemik koronavirus telah mencetuskan keadaan kelam-kabut dalam kalender golf dengan tiga kejohanan utama di AS berpindah ke tarikh kemudian dan Terbuka Britain dibatalkan.

Piala Ryder masih dijadual berlangsung dari 25 hingga 27 September di Wisconsin, tetapi penonton tidak dibenarkan hadir jika ia diteruskan.

“Saya fikir majoriti pemain ingin melihat ia ditunda sehingga 2021 supaya mereka boleh bermain di depan suasana yang diingini oleh mereka,” beritahu McIlroy kepada BBC Ireland Utara.

“Mereka mahu bermain di depan penonton, ia menjadikan Piala Ryder amat istimewa.

“Pada akhirnya, pemainlah yang menjayakan Piala Ryder dan jika mereka tidak mahu bermain, maka tidak adanya Piala Ryder.

“Saya melihatnya ditunda ke tahun 2021 dan secara terus-terang, saya fikir ia keputusan yang betul.”

Kapten Piala Ryder Eropah Padraig Harrington sebelumnya mengingatkan pemainnya bahawa mereka mungkin perlu mengorbankan keseronokan bermain di depan penonton ramai demi peminat golf yang menonton di rumah.

“Pemain tidak mahu tetapi kami mungkin perlu mengambil satu untuk acara sukan pasukan dunia supaya orang boleh menyaksikannya,” kata Harrington pada awal bulan ini.

“Ia tidak sama bagi kami tetapi kami mendambakan sukan di TV.”

McIlroy menghadapi penghujung tahun yang sibuk dengan PGA Tour dijangka kembali bermula 11 Jun.

Kejohanan PGA, Terbuka AS dan Masters, masing-masing akan menyusuli pada Ogos, September dan November, tetapi McIlroy masih kecewa Terbuka tidak dijadual semula.

“Saya kecewa seperti semua orang bahawa Terbuka dibatalkan pada tahun ini,” tambah beliau.

“Saya fikir bulan September akan menjadi tarikh baik jika kami boleh bermain.” – AFP