McIlroy, Johnson kumpul dana

MIAMI, 5 MEI – Rory McIlroy dan Dustin Johnson akan bergandingan bertemu Rickie Fowler dan Matthew Wolff pada perlawanan amal mengumpul dana untuk membantu krisis pandemik COVID-19, umum pihak penganjur.

Kejohanan The Taylor-Made Driving Relief akan berlangsung pada 17 Mei ini di Seminole Golf Club di Juno Beach, Florida.

Jelajah PGA yang akan disiarkan oleh NBC Sports dan Sky Sports itu bertujuan bagi membantu Yayasan Jururawat Amerika dan Yayasan CDC, dua organisasi mengetuai gerakan bantuan untuk COVID-19.

Bagaimanapun, tiada penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan itu yang turut mengikut prosedur penjarakan sosial seperti yang diarahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit AS.

Penganjur menerusi satu kenyataan berkata, pemeriksaan kesihatan akan dilakukan untuk memastikan pemain, kru dan mereka yang terbabit berada dalam keadaan sihat.

Pihak penganjur juga berkata, ia adalah perlawanan golf pertama yang akan disiarkan di televisyen sejak pandemik COVID-19 melanda dunia bermula Mac lalu.

“Kami gembira apabila golf kembali semula dan berpeluang untuk meraih dana untuk barisan hadapan.

“Peminat golf di seluruh dunia boleh menyaksikan perlawanan unik dan interaktif ini yang akan membantu mereka yang memerlukan,” kata Pesuruhjaya Jelajah PGA, Jay Monahan. – AFP

McIlroy dan Dustin Johnson akan bergandingan pada perlawanan amal akan datang bagi mengumpul dana untuk membantu krisis pandemik COVID-19. – AFP