PONTE VEDRA BEACH, 11 MAC – Rory McIlroy fokus bagi kejohanan bersejarah Jelajah PGA minggu ini ketika beliau mengimpikan untuk mempertahankan kejuaraannya.
Pemain nombor satu dunia itu tiba di Pantai Ponte Vedra, Florida menjadi pemain pertama untuk kembali berturut-turut di kejohanan TPC Sawgrass.
“Saya tidak fikir anda memerlukan motivasi apabila anda datang ke kejohanan golf ini, tetapi menjadi yang pertama untuk mempertahankan kejuaraan saya di sini akan menjadi sangat menarik,” kata McIlroy kepada pemberita kelmarin.
McIlroy akan memulakan pukulan tee off selepas permulaan yang menggalakkan musim ini yang menyaksikan beliau menjadi pemain lima terbaik dalam enam perlawanan.
Dia sedang memburu kejuaraan di kejohanan Jemputan Arnold Palmer minggu lalu tetapi tewas pada pusingan akhir.

Walau bagaimanapun, pemain dari Ireland Utara itu melihat persamaan antara permulaan yang baik pada musim ini dengan tahun lalu, apabila beliau meraih empat kemenangan pertama pada 2019 di kejohanan The Players selepas persembahan yang konsisten.
“Ia cukup baik untuk saya kembali,” kata McIlroy. “Banyak persamaan antara tahun ini dan tahun lalu dari segi bagaimana saya telah beraksi di beberapa kejohanan pertama tahun ini, memberi saya beberapa peluang, namun belum mencukupi dan ya, jelas akan menjadi indah untuk mengulangi kembali apa yang berlaku tahun lalu.”
Webb Simpson, juara kejohanan 2018, tidak akan terkejut jika McIlroy memenangi kejohanan dengan membawa pulang cek AS$2.7 juta hujung minggu ini.
Simpson percaya McIlroy berusia 30 tahun itu selesa sebagai pemain terbaik dunia.
“Tidak perlu mengatakan seperti itu, tetapi dia pastinya pemain terbaik di dunia sekarang,” kata Simpson.
“Dia adalah pemain terbaik di dunia dalam kerjaya golf keseluruhannya.” – AFP