McLaren lancar fasiliti 3S

SHAH ALAM, 6 NOV – McLaren Automotive, pengeluar kereta sport dan kereta super mewah berprestasi tinggi British melancarkan fasiliti 3S (jualan, servis dan alat ganti), McLaren Kuala Lumpur di Glenmarie, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan bagi Asia Pasifik dan China George Biggs berkata pusat 3S bernilai RM15 juta itu menawarkan perkhidmatan jualan, selepas jualan, aksesori selain perkhidmatan rangkaian lengkap model McLaren.

“Rekabentuk fasiliti jualan berukuran 420 meter persegi yang baru ini membolehkan pemilik dan peminat menyelami kehebatan jenama ikonik sukan permotoran dan automotif dunia,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pusat 3S itu di sini hari ini.

Pusat 3S itu adalah satu-satunya kemudahan runcit di Malaysia dan dikendalikan oleh McFarren Supercars Sdn Bhd.

Susulan majlis itu, McLaren turut melancarkan McLaren GT baharu, edisi terkini rangkaian model McLaren.

McLaren GT melengkapkan rangkaian terkini kereta sport dan kereta super McLaren yang ditawarkan di Malaysia termasuk 570S Coupé and Spider, 600LT Coupé and Spider dan 720S Coupé and Spider.

Biggs berkata kewujudan pusat 3S itu akan meningkatkan jualan McLaren dan pada masa yang sama memberi jaminan bahawa pusat itu boleh menjaga kenderaan pelanggan.

“Ia (pusat 3S) memberi keyakinan tinggi kepada pelanggan memandangkan Malaysia kekal sebagai pasaran penting kami di Asia Pasifik,” kata Biggs. – Bernama