Mcphee bermula baik di GP Qatar

KUALA LUMPUR, 9 MAC – Pelumba Petronas Sprinta Racing, John McPhee memulakan musim ini dengan baik apabila menduduki tempat kedua kategori Moto3 Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail di Qatar.

Pelumba Britain berusia 25 tahun itu mencatat masa 38 minit 08.994 saat, hanya 0.053 saat di belakang pelumba Sepanyol, Albert Arenas Ovejero daripada Aspar Team Gaviota yang merangkul kemenangan keempat Moto3 sejak 2018. Pelumba Jepun, Ai Ogura daripada Honda Team Asia di tempat ketiga dengan catatan masa 38 minit 09.285 saat. Rakan sepasukan McPhee, Khairul Idham Pawi, yang dikenali sebagai KIP, menamatkan perlumbaan di tempat ke-26 daripada 29 pelumba dengan catatan masa  38 minit 37.130 saat dalam perlumbaan 18 pusingan itu, penampilan pertamanya selepas berehat 10 bulan akibat kecederaan tangan kanan.

Dalam perlumbaan Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing – Xavi Vierge dan Jake Dixon menamatkan saingan di tangga kesembilan dan ke-14 selepas mencatat masa 40’07.310 saat dan 40’12.909 saat.

Ketua pasukan Datuk Razlan Razali gembira dengan prestasi penunggangnya dalam kategori Moto2 dan Moto3, namun berpendapat masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang Grand Prix Americas di Amerika Syarikat, bulan depan. – Bernama