McPhee bersendirian di GP Styria

KUALA LUMPUR, 19 OGOS – Petronas Sprinta Racing Team mempertaruhkan harapan ke atas John McPhee bagi memburu kemenangan podium pada perlumbaan Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring, Austria minggu ini.

Ini susulan ketiadaan rakan sepasukan yang juga pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi (KIP) yang akan ke Barcelona, Sepanyol bagi menjalani rawatan akibat kecederaan jari yang dihadapinya ketika perlumbaan GP Austria, minggu lepas.

Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata pihaknya membuat keputusan untuk merehatkan pelumba negara Malaysia pada perlumbaan akan datang bagi memberi peluang kepada beliau pulih sepenuhnya.

“Ini membolehkannya pulih dan berehat selama tiga minggu, supaya beliau kembali lebih baik pada perlumbaan di Misano.

“Ia keputusan yang sukar bagi pihak pengurusan dan juga KIP, tapi ia demi keselamatan dan kesihatan serta kebaikan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pelumba Britain berusia 26 tahun berkenaan tidak tertekan dan berazam untuk meraih kemenangan podium seterusnya musim ini. – Bernama