McPhee yakin mampu lakukan perubahan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL – Pelumba Petronas Sprinta Racing Team, John McPhee yakin mampu melakukan perubahan besar dalam saingan Moto3 musim ini selepas kejayaan meraih podium pada pusingan pembukaan di Qatar, sebelum perlumbaan motorsikalGrandPrix (MotoGP) ditangguhkan susulan COVID-19.

Pelumba British berusia 25 tahun itu berkata kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat kedua itu memberi motivasi buatnya untuk terus mempamerkan aksi lebih baik dalam perlumbaan musim ini.

McPhee menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Aspar Team, Gaviota Albert Arenas manakala tempat ketiga diraih pelumba HondaTeam Asia, Ai Ogura di Litar Antarabangsa Losail, 8 Mac lepas. “Kami melalui pra-musim yang sangat baik dan melakukan persediaan sejak tahun lepas lagi. Pertama kali dalam kerjaya perlumbaan, saya dapat berlumba dengan jentera, pasukan dan orang-orang yang sama. Ia juga sangat berharga kerana saya berjaya melakukan perlumbaan pertama tahun ini, dan mampu tersenyum sendiri ketika perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

McPhee turut mengakui mempunyai hubungan rapat dengan rakan sepasukannya yang juga pelumba negara KhairulIdham Pawi, atau lebih dikenali dengan panggilan KIP.

KIP kembali berlumba selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan tangan yang dihadapinya apabila terlibat dalam kemalangan di GP Sepanyol pada Mei tahun lepas, hingga terpaksa menjalani pembedahan.

“Kami saling menghormati. Sudah semestinya sasaran pertama setiap pelumba adalah mengatasi rakan sepasukan tapi dengan KIP, kami gembira untuk membantu satu sama lain.” – Bernama