McGregor janjikan aksi hebat, ingin disanjungi

ABU DHABI, 22 JAN – Conor McGregor berjanji akan memberi aksi paling hebat menjelang pertembungan terbesar dalam seni bela diri campuran (MMA) esok menentang petinju kelas lightweight dari Amerika Syarikat (AS), Dustin Poirier dalam acara utama UFC 257 di Abu Dhabi.

“Saya berada pada tahap yang terbaik yang pernah saya capai, saya yakin,” kata McGregor pada sidang akhbar sebelum pertembungan di Arena Etihad.

“Saya akan menunjukkan kepada dunia apa yang saya miliki.”

Selepas tidak beraksi selama 12 bulan, bekas juara dua divisyen, McGregor akan kembali ke gelanggang di dalam ‘Fight Island’, yang dibina pada Julai lalu untuk membantu melindungi para atlet MMA dari pandemik koronavirus.

Walaupun pada masa lalu beliau sering menimbulkan kekecohan di sidang akhbar, McGregor kali ini berbeza muncul lebih matang kerana petinju dari Ireland berusia 32 tahun itu memberi penghormatan kepada lawannya, meramalkan menamatkan pada pusingan pertama dan berharap satu hari nanti dikenang bersama petinju yang hebat.

“Semua wang hadiah kemenangan, semua tali pinggang dan segala-galanya sentiasa datang dan pergi. Anda tahu apa yang akan kekal? Kehebatan. Anda lihat kehebatan dilakukan Roy Jones Jnr, anda lihat kehebatan Mike Tyson, anda lihat kehebatan Muhammad Ali. Saya mahu kehebatan sentiasa ditunjukkan menjadi seperti sebuah filem,” kata McGregor.

McGregor (22-4) kali terakhir beraksi dalam gelanggang mengalahkan petarung welterweight AS, Donald Cerrone (36-15) menerusi keputusan knockout dalam hanya 40 saat di UFC 246 di Las Vegas pada 18 Januari.

Walaupun hanya pertarungan keduanya dalam empat tahun, itu adalah aksi yang dinanti-nantikan dan aksi yang dapat mengangkat McGregor ke puncak pertarungan.

Petinju kelahiran Dublin, yang pernah menerima bayaran kesejahteraan, menyimpan banyak rekod dan pencapaian lain di MMA yang membuktikan kepentingannya yang berterusan terhadap sukan dan UFC. – AFP

Reaksi McGregor semasa pertarungan yang lalu di Las Vegas menewaskan Donald Cerrone. McGregor berharap satu hari nanti beliau akan dikenang sebagai petinju yang hebat. – AP