MDEC bantu PKS terima guna teknologi digital

KUALA LUMPUR, 2 JUN – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima guna alat digital untuk bekerja secara jarak jauh, operasi berkaitan e-dagang dan pembayaran.

Pengarah Penerimagunaan Digital Perniagaan, Muhundhan Kamarapullai berkata MDEC juga  menekankan lagi kepentingan pemasaran digital dalam keadaan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Selain itu, MDEC membantu PKS melabur dalam digitalisasi menerusi langkah menghubungkan mereka dengan penyedia perkhidmatan teknologi dan dana yang berkeupayaan, dan dengan itu meningkatkan kesedaran mengenai dana yang tersedia,” katanya dalam siri webinar bertajuk ‘SME Unplugged Part Six: 100 Go Digital’ hari ini.

Beliau berkata peningkatan permintaan pelanggan akan mendorong lebih banyak PKS mencari kesalinghubungan berkesan bagi keterlibatan lebih pantas, murah dan baik dengan pelanggan serta vendor.

Ini memandangkan semakin ramai pelanggan sudah terbiasa dengan aktiviti dalam talian seperti memesan dan membeli barang dan perkhidmatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Beliau berkata, berkaitan perubahan landskap perniagaan, kalangan mereka yang pantas menerima guna digitalisasi akan berkembang dengan capaian serta pemahaman lebih baik dari segi analisis perniagaan. – Bernama