MDEC, Huawei kerjasama bangunkan ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menerajui inisiatif bagi memacu kedudukan Malaysia sebagai pusat Digital ASEAN.

Kerjasama ini akan bermula dengan pembangunan kertas putih yang dijalankan oleh kedua-dua pihak bagi mengenal pasti dan membangunkan elemen utama untuk merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi hab digital serantau.

“Menerusi kerjasama kami dengan Huawei, kami menyasar mendapatkan pemahaman dan pengetahuan dalam menangani masalah khusus dan cabaran yang dihadapi oleh ekosistem digital di Malaysia.

“Kami merancang untuk menyediakan penyelesaian yang akan memudahkan pembinaan kapasiti bagi merealisasikan potensi penuh ekonomi digital Malaysia menerusi penggunaan digital dan pembangunan tenaga kerja digital,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, objektif MoU tersebut adalah untuk membangunkan ekonomi digital yang mantap, termasuk prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi inovatif gunaan (5G), Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya, Internet Pelbagai Benda (IoT), tenaga kerja teknologi digital dan kesalinghubungan digital. – Bernama