MEA, Kementerian Kesihatan bekerjasama tangani serangan virus

KUALA LUMPUR, 24 JAN – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak koronovirus 2019-nCoV) secara berkesan melalui pembiayaan pembangunan bagi meningkatkan kesediaan negara untuk menghadapi keadaan kecemasan dan wabak.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, MEA memandang berat wabak yang menyerupai penyakit pneumonia yang telah menjejaskan China dan beberapa negara lain di rantau ini. “Kedatangan Cuti Tahun Baru Cina kali ini dimulakan dengan kebimbangan mengenai risiko jangkitan berikutan peningkatan perjalanan di seluruh negara jiran, khususnya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MEA telah memperuntukkan sebanyak RM227 juta untuk 2020 bagi pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, MEA akan memastikan hospital dan klinik kesihatan terpilih yang telah dikenal pasti untuk tujuan pemeriksaan penyakit akan dilengkapi secukupnya dalam usaha pencegahan, kawalan serta pengesanan di kawasan yang berpotensi. – Bernama