Mean yakin kes digugurkan

LAUSANNE, 19 OGOS – Seorang peguam anti rasuah yang mewakili presiden FIFA, Gianni Infantino yang sedang menghadapi siasatan jenayah di Switzerland, mengatakan kelmarin bahawa dia percaya kes itu akan digugurkan.

“Saya yakin sepenuhnya kes tersebut akan digugurkan,” menurut peguam, Jean-Pierre Mean memberitahu AFP.

Infantino, yang bertanggungjawab terhadap badan pengurusan bola sepak dunia sejak 2016, menjadi subjek siasatan oleh pendakwa raya Switzerland kerana disyaki bersekongkol dengan peguam negara Switzerland, Michael Lauber, yang meletak jawatan bulan lalu kerana mengendalikan siasatan rasuah yang menyasarkan FIFA.

Walau bagaimanapun, Infantino sudah menegaskan dia ‘tidak ada apa-apa yang disembunyikan’.

Dalam surat yang dihantar kepada 211 ahli FIFA, Infantino berkata tidak ada ‘alasan fakta untuk pembukaan siasatan jenayah’.

Infantino dan Lauber dikatakan telah mengadakan beberapa siri perjumpaan rahsia pada 2016 dan 2017, tetapi ketua FIFA berkata perjumpaan tersebut adalah mengenai memperbaiki ‘kepercayaan orang ramai mengenai FIFA’ selepas beberapa siri skandal.

Infantino menegaskan bahawa perjumpaan tersebut ‘bukan perjumpaan rahsia dan sememangnya tidak menjadi kesalahan’.

Peguam Mean, seorang pakar anti rasuah yang dilantik FIFA bagi pihak Infantino pada bulan Mei menambah, “Tidak ada yang salah bertemu seorang peguam, bahkan secara tidak formal. Ini sangat biasa dan sama sekali bukan satu jenayah.

Prosedur menentang Infantino, Mean melanjutkan ‘hanya menyebutkan aduan tanpa nama’.

“Kami masih belum menyaksikannya. Kami akan dapat akses kepada fail tersebut apabila Infantino didengari.” – AFP

Peguam anti rasuah yang mewakili presiden FIFA, percaya bahawa kes siasatan Gianni Infantino oleh pendakwa raya Switzerland akan digugurkan. – AFP