Thursday, August 11, 2022
23.2 C
Brunei

MEASAT-3D: Rapatkan jurang digital

-

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Pelancaran satelit MEASAT-3d diharap dapat membantu merapatkan jurang digital, seterusnya menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang aeroangkasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan pelancaran satelit itu juga, keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Hari yang penuh bersejarah, Measat Global Berhad (MEASAT) telah melancarkan satelit MEASAT-3d di Kourou, French Guiana,” kata Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir ke Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi menyaksikan secara langsung pelancaran MEASAT-3d dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5:50 pagi waktu Malaysia (6:50 petang waktu tempatan 22 Jun).

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di WTC-KL. – Bernama

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata MEASAT-3d penting kepada Malaysia dalam mencapai liputan Internet 100 peratus sebelum 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar.

Menerusi pelancaran satelit itu, Malaysia juga dapat memperkukuhkan kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini selain meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit berkenaan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Satelit MEASAT-3d yang merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS merupakan antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Hujan lebat ragut 7 nyawa

SEOUL, 9 OGOS – Terowong kereta api bawah tanah dan laluan jalan utama di ibu negara Korea Selatan, Seoul, ditenggelami air selepas hujan lebat...
- Advertisment -