Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Mechamato Movie promosi budaya Malaysia

    KUALA LUMPUR – Mechamato Movie, filem animasi 3D keluaran Malaysia yang mempamerkan budaya dan nilai negara itu bakal ditayangkan di pawagam antarabangsa pada 2023.

    Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta), Nizam Abd Razak yang merupakan penulis dan juga pengarah filem itu berkata Mechamato Movie yang akan ditayangkan serentak pada 8 Disember ini di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei adalah hasil aspirasi syarikat itu untuk memperkasakan budaya Malaysia melalui kandungan kreatif.

    “Latar tempat utama filem ini dinamakan Kota Hilir yang diinspirasikan dari seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka. Monsta turut menampilkan elemen tradisional seperti destar, keris, beca dan makanan tradisi seperti karipap dengan harapan penonton global akan jatuh cinta dengan keunikan negara kita.

    “Mulai 2023, kami tidak sabar untuk mengeksport filem ini. Ia direka untuk dieksport dan membawa budaya dan nilai kita ke luar negara,” katanya semasa tayangan perdana filem itu di MidValley Megamall di sini baru-baru ini.

    Nizam berkata kejayaan sebelum ini membuktikan terdapat permintaan tinggi terhadap filem animasi tempatan dan percaya pemain industri tempatan perlu memperkasa untuk mencapai tahap yang lebih tinggi di pasaran antarabangsa.

    Barisan para pelakon (yang meminjamkan suara), pengarah, produser dan tenaga belakang tabir yang menjayakan filem animasi Mechamato pada Malam Gala Tayangan Perdana Filem Mechamato Movie di pawagam GSC MidValley, baru-baru ini. – Bernama

    “Siri Mechamato berjaya menembusi 65 negara di seluruh dunia sejak dilancarkan pada Disember 2021 termasuk di Jepun, Korea Selatan, Portugal, Turkiye dan Australia.

    “Memasarkan filem kami di luar negara selaras dengan visi kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mempromosikan negara kita di peringkat antarabangsa. Kami berharap dapat meneruskan usaha ini dan berharap penggiat industri tempatan yang lain turut berjaya berbuat demikian,” katanya.

    Sementara itu, Naib Presiden Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jasnita Raja Arshad berkata menerusi Mechamato Movie, Monsta meletakkan standard baharu sebagai filem berkaliber antarabangsa.

    “Mereka telah menunjukkan pada masa lalu bahawa mereka mampu membawa nama Malaysia ke persada global. Pasukan produksi juga telah menghabiskan banyak masa untuk pembikinan filem ini.

    “Pada mulanya dijadualkan untuk ditayangkan pada penghujung 2019, tayangan filem itu ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 dan ia memberi peluang untuk meningkatkan kualiti filem – menjanjikan kepuasan kepada semua,” katanya.

    Mechamato Movie merupakan kerjasama kedua Astro Shaw dan Monsta selepas filem BoBoiBoy Movie 2 yang berjaya menjadi filem animasi tempatan pertama yang melepasi kutipan RM30 juta. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...