Mechichi PM baharu Tunisia

TUNIS, 26 JULAI – Hichem Mechichi, yang berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri Tunisia, dilantik untuk membentuk kerajaan baharu, menurut Pejabat Presiden semalam.

Peguam berusia 46 tahun itu menggantikan Elyes Fakhfakh, yang meletak jawatan pada awal bulan ini. Beliau bukan antara calon dicadangkan parti politik pemerintah kepada Presiden Tunisia, Kais Saied.

Selain memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, Mechichi juga adalah penasihat Presiden dengan bertanggungjawab terhadap hal berkaitan undang-undang. Beliau sebelum ini adalah Ketua Jabatan Kementerian Pengangkutan dan pernah bertugas di Kementerian Hal Ehwal Sosial.

Mechichi mempunyai tempoh sebulan untuk membentuk kerajaan ketika beliau perlu berdepan ketegangan politik membabitkan parti-parti utama.

Pemilihannya perlu diundi di parlimen dan memerlukan majoriti mutlak untuk berjaya.

Jika gagal, parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh tiga bulan.

Dalam pilihan raya terakhir yang diadakan Oktober lalu, parti Ennahdha berada di kedudukan teratas tetapi memiliki kurang majoriti dengan memperoleh 54 daripada 217 kerusi di parlimen dan akhirnya bersetuju bergabung membentuk kerajaan pakatan. – AFP