WASHINGTON, 16 SEPT – Media Amerika Syarikat (AS) menamakan Ryan Wesley Routh, yang pernah ditemu bual AFP di Kyiv pada 2022 di mana dia menyokong usaha perang di sana, sebagai suspek dalam percubaan membunuh Donald Trump.
Media AS melaporkan bahawa Routh, 58 tahun, ditangkap selepas ejen Perkhidmatan Rahsia AS ‘melepaskan tembakan ke arah seorang penembak’ yang membawa senjata jenis AK-47 berhampiran kawasan golf Trump di Florida, tempat bekas presiden itu sedang bermain golf, kelmarin.
Suspek telah keluar dari kawasan semak tempat dia bersembunyi dan melarikan diri dalam sebuah kereta hitam sebelum dia berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.
CNN dan CBS melaporkan bahawa Routh adalah seorang pembina perumahan mampu milik di Hawaii yang bekerja sendiri, dengan rekod tangkapan sepanjang dekad dan sering menyiar hantaran mengenai politik dan isu semasa, termasuk mengkritik Trump, calon presiden Republikan.
Salah satu isu yang disokong Routh adalah perjuangan Ukraine menentang pencerobohan yang dilancarkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin. – AFP