CYBERJAYA, 23 Okt – Bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin yakin media cetak masih boleh ‘hidup’ kerana ia masih sumber bacaan utama masyarakat walaupun menghadapi persaingan ledakan teknologi dan media dalam talian.
Katanya industri akhbar masih boleh hidup sekiranya pihak pengurusannya pandai menguruskan syarikat sesuai dengan situasi dan memenuhi keperluan pembaca termasuk berubah dari segi penyampaian berita. Katanya beliau juga melihat ilmu dan konsep kewartawanan lama juga tidak lagi terpakai untuk zaman hari ini.
“Bagi saya, masa depan akhbar tidaklah gelap, tetapi tidak ‘promising’ (meyakinkan) malah tidak menjanjikan masa depan yang cerah,” katanya selepas majlis penyerahan koleksi beliau kepada Universiti Islam Malaysia di sini hari ini.
Mengulas situasi kewangan yang dihadapi Kumpulan Utusan sekarang, Zainuddin berkata syarikat itu masih gagal untuk memulihkan keadaan sekalipun telah beberapa kali bertukar alih kepimpinan. – Bernama