BEIJING, 16 Jan – Media China mendakwa Presiden dipilih Donald Trump “bercakap seperti seorang yang tidak berpengalaman,” serta menggambarkannya cadangan Trump untuk menggunakan dasar Amerika mengenai Taiwan sebagai cip tawar-menawar, sebagai “keji.”
Tabloid nasionalis Global Times menerbitkan satu editorial yang mengecam strategi Trump dan berkata, China akan memberikan respons yang keras terhadap mana-mana pertimbangan semula mengenai dasar “satu China.”
Sejak mengiktiraf Beijing pada 1979, Washington telah mengekalkan hubungan yang tidak rasmi sahaja dengan Taiwan, pulau yang ditadbir sendiri yang dianggap oleh Beijing sebagai wilayahnya, satu status quo yang berkali-kali diugut akan diterbalikkan oleh Trump sejak memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November.
“Sebelum ini, Trump menimbulkan kemarahan kami, tetapi sekarang kami mendapati beliau “menggelikan hati,” kata akhbar, yang diterbitkan oleh People’s Daily, lidah rasmi Parti Komunis.
“Dengan kebangkitan dalam kehidupan politiknya, Trump amat yakin kononnya dalam pengetahuan beliau tentang tugas, walaupun beliau bercakap seperti orang yang tidak berpengalaman.”

Sementara itu akhbar bahasa Inggeris China Daily menyiarkan satu editorial hari ini menuduh Trump “bermain dengan api.”
“Jika Trump bertekad untuk menggunakan muslihat ini selepas menjadi presiden, satu tempoh interaksi yang sengit tidak dapat dielakkan, kerana Beijing tidak mempunyai pilihan melainkan bertindak keras,” kata akhbar itu.
Trump memberitahu Wall Street Journal dalam satu temu bual yang disiarkan pada Jumaat bahawa “segalanya sedang dibincangkan, termasuk “satu China.”
Ia merupakan petanda terbaru yang menunjukkan Trump mungkin merombak hubungan AS-China, terutamanya mengenai Taiwan, yang dianggap oleh China sebagai satu kepentingan utama negara.
Kementerian Luar China membalas dengan satu kenyataan semalam berkata dasar “satu China” adalah “tidak dapat dirundingkan.” – AP