Media sosial bantu didikan lebih kreatif

KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyaksikan masyarakat terpaksa menyesuaikan diri dengan banyak perkara yang bukan menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka.

Tidak terkecuali sektor pendidikan yang turut terkesan ekoran penularan wabak penyakit itu sehingga menuntut warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutamanya guru menjadi lebih kreatif dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Penutupan sekolah dan universiti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilaksanakan di Malaysia pada Mac lepas, menyaksikan kaedah pengajaran secara tradisional atau bersemuka bertukar kepada sesuatu yang baharu iaitu pembelajaran dalam talian atau secara maya.

Menyedari kaedah itu yang boleh diaplikasikan secara meluas pada masa hadapan, golongan pendidik berusaha sedaya upaya menjadi kreatif dalam mempelbagaikan proses pengajaran sejajar dengan saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke arah pembudayaan normal baharu.

Kelas-kelas maya atau pengajaran secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai teknologi dan aplikasi seperti WhatsApp, Skype, Zoom, Google Meet mula dipraktikkan oleh guru sehingga kini bagi memastikan pelajar masih boleh menjalani proses pembelajaran dan tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Kelas-kelas maya atau pengajaran secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai teknologi dan aplikasi seperti WhatsApp, Skype, Zoom, Google Meet mula dipraktikkan oleh guru. – Bernama

Justeru, menyedari aplikasi Tik Tok menjadi sohor pada masa kini, seorang guru muda menggunakan platform berkenaan sebagai medium tambahan kepada kaedah pengajaran normal baharu di sekolah.

Kaedah itu diambil oleh seorang guru Bahasa Inggeris, Izzati Nur Syifaa Hasan, 24, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Negeri Sembilan.

Mesra disapa ‘Teacher Syifaa’ oleh pelajarnya, aplikasi video pendek TikTok dilihat dapat menarik minat anak muridnya mendekati Bahasa Inggeris selain ia mudah diakses.

“Kandungan video yang saya hasilkan lebih memberi fokus kepada tatabahasa dan sebutan. Pendapat saya pengajaran dalam talian misalnya TikTok membantu dalam cara pembelajaran normal baharu sebab ia mudah dicapai, maknanya boleh diakses sepanjang masa.

“Pembelajaran dalam talian semakin sesuai diaplikasikan kerana pelajar pada masa kini sememangnya mahir menggunakan media sosial…cuma saya beri penekanan kepada murid Tahun 6 buat masa ini, murid di Tahap 1 saya tidak galakkan lagi,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, beliau berkata proses PdP sama ada melalui saluran YouTube atau TikTok hanya sebagai tambahan kepada apa yang dipelajari anak muridnya di sekolah.

“Mengajar secara bersemuka tetap lebih berkesan bagi saya, cuma melalui kaedah dalam talian ini (TikTok) mungkin membantu mereka lebih ingat sesuatu topik kerana ia mempunyai video,” kata beliau yang telah memuat naik lebih 10 video TikTok pelbagai topik Bahasa Inggeris di media sosial miliknya.

Justeru, beliau berhasrat menjadikan platform berkenaan sebagai sesuatu yang bermanfaat bagi anak didiknya dalam proses pengajaran.

Seorang lagi guru, Siti Faridah Matt, 34, turut mengadaptasikan normal baharu dalam kaedah pengajaran dengan menghasilkan kandungan video melalui teknik layar hijau.

Guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma Kangar, Perlis itu dalam perkongsian di laman Twitternya berkata semuanya bermula ketika PKP apabila beliau hanya menggunakan bahan yang terdapat di rumahnya untuk menghasilkan video menarik melalui telefon pintar dan kain hijau.

“Cikgu guna kain hijau dua meter, guna apa sahaja yang ada masa PKP,” kata beliau yang mempunyai pengalaman 10 tahun mengajar dan berhasrat menghasilkan lebih banyak kandungan video bagi mempelbagaikan bahan digital untuk pelajar.

Video Siti Faridah menggunakan layar hijau bagi mengajar topik jadual berkala bagi mata pelajaran kimia yang tular di media sosial serta urut mendapat pelbagai respons positif daripada warganet. – Bernama